Import, Beli, Jual & Ternak Kambing Boer ; Reka & Bina Kandang

*****************************************************************************中文*

Kambing yang dikontotkan ekornya & dikembirikan (Castrated)

Apakah hukumnya kambing korban yang dikontotkan ekornya?

Menurut hukum agama tidak sah membuat korban dengan binatang-binatang yang cacat iaitu dari apa yang diterangkan oleh hadis Nabi s.a.w. ertinya: "Tidak sah membuat korban binatang-binatang yang nyata butanya, yang nyata mengidap penyakit, yang nyata timpangnya, dan yang kurus kering." Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah dengan sanad yang disahkan oleh Tirmizi. Ulama fiqh telah menyebutkan bahawa selain daripada jenis-jenis cacat yang disebutkan oleh hadis tadi termasuk juga sebarang kecacatan lain seperti gila, buta, terlalu tua, terpotong telinganya atau pada umumnya sebarang cacat yang mengurangkan daging binatang korban itu. Singapura adalah sebuah negara yang tidak mempunyai sumber binatang ternak yang sah dibuat korban iaitu unta, lembu atau kambing. Binatang korban yang banyak sekali dibawa masuk ke Singapura ialah kambing. Negara pembekal utama kambing ini ialah Australia. Jarang pula dilaporkan kambing-kambing hidup dibawa masuk dari New Zealand. Sejak dahulu lagi tidak diketahui bahawa kambing-kambing ini telah dipotong ekornya. Maka sekarang timbul pertanyaan adakah kambing-kambing yang telah dipotong ekornya dianggap cacat dan adakah amalan korban yang telah dibuat pada tahun-tahun yang telah lepas tidak sah? Jawatankuasa Fatwa MUIS yang membahaskan perkara ini berpendapat bahawa ibadat korban yang telah dibuat dengan kambing-kambing yang sedemikian rupa tetap sah, dan insya-Allah terkabul di sisi Allah Taala kerana ianya didasarkan bahawa binatang-binatang itu memang tidak cacat pada hakikatnya, khususnya cacat-cacat yang disebutkan di dalam hadis Nabi tadi tidak terdapat pada binatang-binatang ini. Pemotongan ekor-ekor kambing yang dibawa masuk dari Australia atau New Zealand itu sebenarnya telah dilakukan sewaktu kambing-kambing itu masih kecil lagi oleh sebab-sebab kesihatan. Menurut penyelidikan, telah didapati bahawa di Australia dan New Zealand ada sejenis langau yang lazimnya hinggap di bahagian ekor-ekor kambing yang telah besar dan menyedut lemak yang ada di ekor kambing-kambing ini. Langau-langau ini akan bertelor dan membiak di situ sehingga mengakibatkan kudis dan mungkin membawa kesan yang sangat buruk kepada kambing-kambing itu dan seterusnya membawa bahaya kepada kesihatannya. Oleh yang demikian, ekor kambing-kambing itu dipotong untuk menolak bencana tersebut. Amalan memotong ekor kambing-kambing kibasy ini pernah dijalankan pada zaman dahulu lagi iaitu pada zaman Imam Ramli kira-kira kurun sepuluh Hijrah dahulu. Beliau pernah ditanya tentang hukumnya sebagaimana yang tersebut dalam Kitab Fatawa Alkubra Alfiqhiyah oleh Ibn Hajar di Juz 4 muka surat 67 di bahagian tepi. (Babul Udhiyah). ertinya: "Telah menjadi kebiasaan pada zaman kita ini dipotong sebahagian daripada ekor kambing korban; dan sebahagian orang menyangka bahawa pemotongan itu akan menyebabkan kambing-kambing itu gemuk sama ada ekor itu tidak lagi menjejak ke tanah atau tidak ataupun memberi kesan kambing itu akan menjadi gemuk atau tidak. Adakah sah kambing seperti ini dijadikan korban?" Jawab beliau adalah "Sah amalan korban dengan binatang yang dipotong sebahagian ekornya kerana pemotongan itu biasanya adalah sebahagian kecil daripada anggota yang besar terutama sekali tujuan pemotongan itu untuk membolehkan kambing-kambing itu membesar, maka perbuatan itu adalah sama dengan memotong pelirnya (dikembirikan supaya menjadi gemuk). " Memandangkan kepada pemotongan sebahagian kecil daripada ekor itu bukanlah dikira cacat yang disebutkan dalam hadis Nabi tadi bahkan sebaliknya untuk menggemukkan dan mencegah dari terkena penyakit yang boleh menjadikannya cacat (kudis), maka Jawatankuasa Fatwa Muis berpendapat bahawa kambing-kambing yang dikontotkan ekornya atau dikembirikan itu sah dibuat ibadat korban dan aqiqah. Ini juga adalah kerana di negara kita tidak terdapat kambing-kambing lain yang boleh menggantikannya, dan supaya tidak tergendala syariat agama yang sangat digalakkan iaitu ibadat korban dan juga ibadat aqiqah.

( Source : http://www.muis.gov.sg/websites/rservices/opendocall.asp?type=I&sno=446 )

Surat pegesahan ternakan yang dikasi untuk tujuan Akikah dan Korban dari JAKIM, sila klik sini.